PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, sekali lagi menawan Litar Tangkak sepanjang 1.025 kilometer untuk kemenangan berganda kategori CP150.

Afif turut merakam rekod sepusingan baru di litar itu dalam pusingan ke-19 Kejohanan Cub Prix, semalam, sebelum muncul juara dengan mencatat 14:42.762 saat sementara Akid Aziz menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Rakan sepasukan Afif, Mohd Aiman Tahiruddin, turut menceriakan pasukan apabila melepasi garisan penamat di tempat ketiga.

Berdasarkan dua kemenangan hujung minggu ini, saingan untuk bergelar juara CP150 musim 2021 semakin sengit.

Hanya empat mata memisahkan Afif di tangga kedua dengan Azroy Hakeem Anuar mendahului kejuaraan dengan 125 mata. 

 
Sumber Facebook MalaysianCubPrix

Dalam kategori CP125 pula, Mohd Hafiza Rofa, daripada pasukan OneXOX TKKR Racing Team turut meraikan kemenangan berganda apabila menjuarai perlumbaan pusingan ke-8 dengan catatan masa 11:41.155s.

Pusingan ke-9 dan 10 Cub Prix 2021 akan berlangsung di Litar Selatan Sepang dari 17 hingga 19 Disember depan.