JAGUH perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei akan diberi pilihan untuk menentukan sendiri penyertaannya dalam Terbuka Taiwan yang berlangsung pertengahan Julai nanti.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria menyerah segalanya untuk Chong Wei membuat keputusannya sendiri selepas dilihat agak keletihan dengan jadual padat selepas menjuarai Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada.

Apatah lagi isterinya, Wong Mew Choo dijangka akan melahirkan anak kedua mereka tidak lama lagi.

Bagaimanapun Chong Wei memaklumkan dia sudah mendapat restu daripada Mew Choo untuk menyertai Terbuka Taiwan nanti.

Norza pada masa sama memuji kemampuan atlet kelahiran Pulau Pinang itu yang tampil cemerlang biarpun lapan bulan tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif.

Keazaman tinggi dipamerkan Chong Wei menyaksikan rankingnya turut melonjak daripada kedudukan 180 dunia ke tangga 99 hanya dalam tempoh seminggu.