FRANK LAMPARD mahu Chelsea mempamerkan lebih personaliti selepas dipaksa seri 1-1 ketika berdepan Leicester City, sekali gus terpaksa menunggu untuk meraih tiga mata pertama.

Skuad The Blues itu seri 1-1 semalam selepas jaringan pembukaan oleh Mason Mount dipadamkan oleh tandukan Wilfred Ndidi dalam babak kedua.

Situasi itu bermakna pengurus baru Chelsea, Lampard, hanya mengutip satu daripada enam mata ditawarkan selepas kekalahan 4-0 di tangan Manchester United minggu lalu sambil pasukan bimbingannya itu turut tewas menerusi sepakan penalti di tangan Liverpool dalam aksi Piala Super UEFA, pertengahan minggu lalu.



"Kami membiarkan Leicester kembali menemui rentak dan saya tidak gembira dengan aksi babak kedua," katanya.

"Kami tidak tenang mengawal bola sehingga membiarkan lawan menemui rentak permainan. Prestasi yang dipamerkan jelas tidak seperti yang saya harapkan.

"Kami perlu bersedia apabila permainan tampak memihak kami. Anda memerlukan personaliti. Kami meraihnya ketika berdepan Liverpool tetapi tidak dapat mengekalkannya."

Dalam masa sama, legenda Chelsea itu juga berkata pasukannya memerlukan masa untuk berada pada tahap sepatutnya tetapi bersedia dengan sebarang kesan dalam proses tersebut.

"Saya tidak pernah fikirkan akan melalui detik ini apabila hadir ke sini," tambahnya.

"Ia memerlukan masa untuk berada di tempat yang anda mahukan. Kami perlu bekerja keras dan meningkatkan beberapa perkara."

Dia turut memuji Mount selepas pemain muda itu meraih jaringan pertama di peringkat senior pada minit ketujuh, menggunakan kesilapan Ndidi sebelum menewaskan Kasper Schmeichel.

"Saya gembira dengan Mount dan itu cara bagaimana untuk memulakan perlawanan," ujar Lampard.

"Ia satu permulaan yang baik. Mason berada pada tahap terbaik pada waktu itu dan dia sepatutnya gembira dengan detik tersebut."