Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mahu menggunakan cuti tiga minggu sempena kempen kelayakan Piala Asia 2015 untuk memantapkan skuadnya.

"Kini kami mempunyai cuti tiga minggu. Beri kami peluang untuk mantap pasukan kami. Masalah utama ialah penyudah.

"Pemain muda kami telah pulih dari kecederaan. Izuan, Faiz sudah pulih dan kami akan banyak membuat latihan penyudah," katanya ketika ditemui selepas mengendali latihan skuad Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini hari ini.

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Mohamad Aris Zaidi, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin dan Faiz Subri yang sedang dilatih di bahagian serangan.

Kelantan kehilangan tiga tonggak utama di bahagian serangan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan pemain import Mohammad Ghaddar kepada pasukan lain, nyata memberi tekanan hebat kepada mereka untuk melahirkan pemain gantian berbakat di bahagian tersebut.