Belanda mengesahkan status sebagai juara Kumpulan B selepas menewaskan Chile 2-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Arena Corinthians di Sao Paulo.

Skuad ‘The Oranje’ kendalian Louis van Gaal bagaimanapun dipaksa berhempas pulas sebelum dua pemain muda, Leroy Fer dan Memphis Depay menjaringkan gol di penghujung perlawanan.

Permainan kedua-dua pasukan nampak seimbang pada babak pertama apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan berbahaya mereka ke pintu gol lawan.

Belanda
(AP Photo/Frank Augstein)

Belanda yang beraksi tanpa kelibat ketua pasukan, Robin van Persie yang digantung satu perlawanan akibat mengutip dua kad kuning ketika menentang Sepanyol dan Australia tempoh hari meletakkan penyerang muda, Jeremain Lens sebagai pengganti.

Arjen Robben dilihat sebagai watak berbahaya bagi Belanda manakala gerakan dan percubaan penyerang Chile, Alexis Sanchez sering menjadi igauan pertahanan Belanda yang terpaksa mengawal ketat beliau daripada terus bergerak dan membahayakan gawang Belanda.

Belanda
(AP Photo/Felipe Dana)

Tindakan Louis van Gaal memasukkan dua pemain gantian Memphis Depay yang menggantikan Jeremain Lens dan Leroy Fer yang menggantikan Wesley Sneijder nyata mengubah rentak permainan.

Akhirnya, Belanda memecahkan kebuntuan apabila Leroy Fer yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola hantaran Daryl Janmaat untuk kedudukan 1-0.

Meskipun Chile selepas itu menggandakan asakan namun pertahanan yang dikawal oleh Ron Vlaar, Daley Blind, Stefan de Vrij dan Daryl Janmaat sukar untuk ditembusi.

Keghairahan Chile untuk mencari gol penyamaan dihukum Belanda yang melancarkan serangan balas pada minit-minit akhir apabila bola hantaran Nigel de Jong dikejar oleh Arjen Robben yang bertindak melorongkan kepada Memphis Depay untuk jaringan kedua Belanda.

Belanda
(AP Photo/Thanassis Stavrakis)

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat dan dengan kemenangan ini, Belanda kukuh diatas takhta Kumpulan B dan dijangka akan bertemu sama ada Mexico atau Croatia.

Chile pula kekal ditangga kedua dengan enam mata hasil dua kemenangan manakala bekas juara dunia, Sepanyol berada di tempat ketiga selepas akhirnya mencatatkan kemenangan pertama menewaskan Australia.

Australia pula kekal di tangga terbawah tanpa sebarang kemenangan.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Daryl Janmaat (Belanda).