Skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi tentangan hebat kepada Kelantan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu ini.

Keyakinan itu disuarakan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Jelas Zulkifeli, pemain pasukan yang diberi gelaran The Gladiators sudah bersedia sepenuhnya bagi perlawanan pembuka tirai musim 2013 itu.

ATM menyertai kelompok elit Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana musim lalu. Selain itu, mereka juga hampir mencipta kejutan dengan memberi tentangan sengit kepada Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum kecundang 3-2.

Tambah Zulkifeli lagi, sejak ATM memperkukuhkan pasukan bola sepaknya, ia menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi di kalangan warga tentera untuk melihat pasukan itu memenangi sesuatu perlawanan.

Skuad tentera akan diperkenalkan secara rasminya dalam satu majlis di Shah Alam hari ini.