Atlet papan selaju negara, Grace Wong Sze Ern mencipta kejutan dengan meraih pingat emas acara downhill wanita Sukan SEA ke-30 di Seaside Race Track, Maragondon, Cavite hari ini.

Grace beraksi dengan cemerlang untuk mengatasi tiga lagi peserta termasuk cabaran sengit dari dua peserta tuan rumah pada pusingan akhir itu sebelum menghadiahkan pingat emas buat negara.

Peserta dari Thailand, Nuansamorn Pimchua menamatkan saingan di tempat kedua manakala peserta tuan rumah, Grace Rydelle Abarico meraih gangsa.

Pengurus pasukan, Idroose Tambarin, berkata Grace telah memulakan perlumbaan dengan baik dan mengambil setiap selekoh dengan baik di trek sepanjang 1.7km itu.

"Pecutan dan potongan selekoh yang baik daripada Grace membuatkan peserta tuan rumah tidak dapat mengawal perlumbaan dengan baik dan memberikan kemenangan kepada Grace. Di peringkat separuh akhir beliau menamatkan saingan di tempat kedua untuk sekadar melayakkan diri ke pusingan akhir.

"Sebenarnya sasaran kami untuk Grace adalah perak kerana cabaran dalam acara ini cukup sengit. Pada pusingan awal lagi, saingan memang sengit apatah lagi tuan rumah mempunyai dua atlet yang mengambil bahagian dalam final," katanya.

Sementara itu, seorang lagi atlet papan selaju negara, Luqman Hakimi Ahmad Shahrafidz meraih gangsa menerusi acara downhill lelaki.

Tuan rumah, Filipina berjaya menyapu pingat emas dan Perak acara itu masing-masing menerusi Rafael Jaime De Lange dan Raphael Duke Pandeagua.

-- BERNAMA