KONTINJEN Paralimpik Malaysia yang terdiri daripada 22 atlet bertolak ke Tokyo semalam. Rakyat Malaysia pasti tak sabar nak melihat para atlet beraksi dalam gelanggang untuk memaparkan semangat perjuangan di Tokyo.

Satria dah membuat carian di Google tentang senarai nama atlet kontinjen Malaysia kali ini, namun tiada nama-nama yang Satria kenal sejak Paralimpik Beijing 2008.

Pada tahun itu, Satria membuat liputan dengan kontinjen Malaysia, menyaksikan persembahan wira-wira dari Malaysia setiap hari.

Semangat optimistik dan perjuangan yang Satria saksikan daripada mereka di dalam dan luar arena sebenarnya sangat membantu Satria khususnya dalam kerja dan kehidupan selepas itu.

Mariappan Perumal dan Cheok Kon Fatt pada masa itu sudah bergelar legenda dalam sejarah Paralimpik Malaysia.

Bagaimanapun, yang memberi kenangan paling mendalam kepada Satria adalah Siow Lee Chan, iaitu pemenang pingat gangsa angkat berat dan Ng Keng Chuan, Ketua Kontinjen Malaysia pada masa itu.

Puan Siow sangat ramah dan Satria menganggap beliau seperti kakak sendiri. Dalam ingatan saya beliau selalu senyum menghadapi setiap orang.

Setelah berjaya merangkul pingat gangsa yang dihiaskan dengan jed, beliau kelihatan sungguh gembira dan memberitahu saya bahawa hari itu merupakan hari jadi pertama anak kembarnya. Jadi, ditambah dengan hadiah jed yang sinonim dengan makna sejahtera bagi orang Cina, beliau berkata pingat tersebut merupakan hadiah terbaik bagi anak-anaknya.

Siow (kiri) disifstkan sangat ramah dan Satria menganggap beliau seperti kakak sendiri. - Foto: Satria Zhang

Kali pertama Satria melihat Siow menitiskan air matanya adalah ketika menceritakan tentang rutin latihan atlet orang kurang upaya (OKU) yang semuanya diuruskan oleh diri sendiri.

Beliau beritahu Satria yang dirinya agak bertuah sebab suaminya juga merupakan atlet angkat berat dan mampu menjadi jurulatihnya.

Ketika itu, harapan beliau sangat jelas iaitu pingat gangsa yang pertama bagi Malaysia dalam 16 tahun yang lalu itu boleh menarik tumpuan masyarakat terhadap sukan OKU.

Manakala, ketika menyaksikan semangat Ketua Kontinjen Ng Keng Chuan, Satria dapat merasakan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur atau sekali-kali menyerah kalah meskipun nasib tidak menyebelahinya.

Beliau dulu adalah atlet ping pong yang berjuang untuk menyertai pertandingan Sukan Olimpik Beijing, namun beliau cedera dalam kemalangan trafik.

Bagaimanapun beliau memilih datang ke Beijing sebagai Ketua Kontinjen Paralimpik Malaysia, dengan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat untuk negara.

Ng Keng Chuan (kiri) menunjukkan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur atau sekali-kali menyerah kalah meskipun nasib tidak menyebelahinya. - Foto: Satria Zhang

Bagi Satria, ini sangat jelas menunjukkan beliau dan wira-wira dari Malaysia telah berjaya.

Beliau memberitahu Satria bahawa penghormatan terhadap golongan OKU bukan semata-mata dengan memberi bantuan kepada mereka, tapi juga dengan memberi sokongan agar mereka dapat berdikari.

Misalnya ketika naik bas, berbanding orang lain mengangkat beliau ke dalam bas, beliau sebenarnya lebih seronok jika disediakan fasiliti supaya sendiri mampu menggunakan kerusi beroda masuk ke dalam bas.

Selepas berpisah di Beijing, jujur Satria rindu pada para atlet dari Malaysia. Sayang sekali pada masa itu Satria tidak mempunyai akaun Facebook atau WeChat, jadi hubungan dengan mereka juga sama terputus.

Bila membuat carian di Google, Satria terjumpa video kakak Siow berkongsikan ceritanya di KiniTV, dan berita mengenai Ng Keng Chuan bertanding dalam pemilihan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia.

Menjelang Paralimpik Tokyo, berita mengenai mereka bertambah banyak lagi.

Atlet OKU sepatutnya mendapat lebih banyak tepukan tangan daripada atlet biasa, kerana sokongan seperti itu lebih bermakna bagi mereka.

Kalau anda memberi tumpuan kepada pertandingan mereka sama seperti Sukan Olimpik tempoh hari, Satria yakin anda pasti akan tersentuh dan dapat merasakan semangat perjuangan daripada mereka.



*Satria Zhang adalah wartawan China Radio International (CRI).

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.