Seluruh rakyat Malaysia boleh menyaksikan secara percuma liputan paling komprehensif temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bukan hanya di Astro TV tetapi juga platform digital Astro bermula 14 Ogos.

Selaku penyiar rasmi temasya yang bakal membuka tirainya 19 hingga 30 Ogos ini, Astro menyediakan empat saluran khas berdefinisi tinggi (HD) di saluran 802, 803, 804 dan 805, sementara empat saluran tambahan eksklusif menerusi aplikasi atas talian Astro GO dan NJOI Now.

Kata Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Chong Kay, penekanan kepada siaran di platform digital membolehkan sesiapa sahaja, termasuk bukan pelanggan Astro dapat menikmati liputan menerusi peranti masing-masing.

“Kalau menerusi televisyen, anda perlukan set dekoder untuk membolehkan anda mengikuti sukan yang dipertandingkan.

“Apa yang kita lakukan adalah walaupun anda tiada set dekoder, anda boleh muat turun aplikasi dan nikmati semua liputan yang kami siarkan,” katanya pada sidang media majlis pelancaran liputan Sukan SEA oleh Astro ARENA di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.



Majlis tersebut disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Dalam ucapannya, Khairy menyifatkan penyiaran kali ini adalah terbesar dalam sejarah penganjuran Sukan SEA.

Ia kerana sebanyak 24 jenis sukan akan disiarkan secara langsung hasil kerjasama gabungan tiga badan penyiar tempatan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Rangkaian Televisyen Media Prima serta dari negara serantau iaitu Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Tetapi saya tidak ada apa-apa kebimbangan bahawa stadium dan dewan tidak akan diisi.

“Ini kerana, ada permintaan yang banyak untuk menyaksikan semua sukan di venue acara juga. Sebab itu kita hampir jual sepenuhnya tiket beberapa acara,” tegasnya.

Sukan yang disiarkan secara langsung nanti adalah olahraga, akuatik, bola sepak (lelaki), berbasikal (trek), tenpin bowling, billiard dan snuker, ragbi tujuh sebelah, angkat berat, ping pong, gimnastik, luncur ais, tinju, muay, karate, taekwando, pencak silat, wushu, bola keranjang, badminton, bola jaring, sepak takraw, skuasy, memanah dan hoki.

Selain di saluran HD, liputan turut disiarkan di saluran berdefinisi standard (SD) iaitu di saluran 801, 800, 799 dan 798.