DECLAN Rice dan Gabriel Jesus pacu kemenangan Arsenal menakjubkan 3-1 pada masa kecederaan menentang Manchester United dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris yang penuh mendebarkan.

Naib juara Liga Perdana Inggeris musim lalu menerima kunjungan pasukan yang menduduki tempat ketiga semalam susulan permulaan yang kurang memberangsangkan daripada kedua-dua pasukan.

Marcus Rashford cemerlang meletakkan United bimbingan Erik ten Hag di hadapan pada separuh masa pertama di Stadium Emirates, hanya untuk kapten Arsenal, Martin Odegaard menyamakan kedudukan 110 saat kemudian.

Perlawanan nampaknya akan berakhir dengan keputusan seri selepas penalti kerana kekasaran terhadap Kai Havertz namun dibatalkan VAR, sebelum VAR sekali lagi bertindak membatalkan jaringan Alejandro Garnacho kerana ofsaid.

Ketika satu mata kelihatan memihak kedua-dua pasukan, Rice menjaringkan gol pertamanya di Arsenal sebelum pemain gantian Jesus memastikan kemenangan buat Arsenal ke atas The Red Devils.