JADUAL bagi tiga pusingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah dikeluarkan bagi meneruskan musim 2019/20 yang ditangguhkan sejak 13 Mac akibat pandemik coronavirus.

Ia akan bermula dengan perlawanan Aston Villa menentang Sheffield United pada 17 Jun, jam 6 petang waktu UK (18 Jun, 1 pagi waktu Malaysia) diikuti perlawanan Manchester City menentang Arsenal pada hari yang sama.

Kedua-dua perlawanan tersebut adalah baki perlawanan minggu ke-29 yang tidak sempat dimainkan sebelum liga digantung.

Pusingan bagi minggu ke-30 EPL akan bermula pada Jumaat 19 Jun, jam 6 petang waktu UK (Sabtu 20 Jun, 1 pagi waktu Malaysia) dengan Norwich City lawan Southampton diikuti perlawanan Tottenham Hotspur menentang Manchester United pada jam 3:15 pagi waktu Malaysia.

Pendahulu liga, Liverpool akan mengharungi Merseyside derby menentang Everton pada Isnin jam 2 pagi waktu Malaysia dalam misi memburu gelaran utama liga Inggeris pertama dalam tempoh 30 tahun.



Liverpool hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua kemenangan untuk mengesahkan gelaran ke-19 liga utaam Inggeris kerana mendahului 25 mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City yang juga penyandang juara.

Bagi jadual penuh perlawanan, sila ke laman web Premier League.