Hakan Calhanoglu mengekalkan rekod sempurnanya mengambil sepakan penalti ketika Inter Milan menewaskan Arsenal 1-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadio Giuseppe Meazza awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan itu tidak dibolosi sepanjang tiga perlawanan pertama UCL musim ini tetapi kekentalan benteng Arsenal akhirnya roboh juga apabila Mikel Merino dihukum gara-gara menyentuh bola menggunakan tangan dalam kawasan penalti sebelum separuh masa.
Calhanoglu kemudian tenang menewaskan David Raya untuk menjaringkan gol sepakan penaltinya yang ke-19 sepanjang mewakili Inter.
Kemenangan itu menyaksikan Inter kini mengumpulkan 10 mata daripada empat perlawanan untuk menduduki tangga kelima UCL.
Arsenal, dalam pada itu, berada di tangga ke-12 dengan tujuh mata.