SURABAYA: Atlet judo negara Amir Daniel Abdul Majeed mahu berkongsi wang insentif RM3,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bersama orang tersayang.

Amir Daniel yang cemerlang menyumbang pingat emas di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 semalam berkata mahu memberikan sebahagian habuan yang bakal diterimanya itu kepada ibu, Yeoh Suat Khim.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu memenangi kategori bawah 81 kilogram (-83kg) pada aksi final di Pusat Konvensyen Airlangga di sini, semalam, dengan disaksikan ibunya.

Atlet berusia 20 tahun itu mudah mengetepikan cabaran peserta tuan rumah, Yuta Gladius Taslim menerusi keputusan ippon.

"Apabila dapat duit itu nanti, saya mahu beri kepada ibu sebagai duit poket kerana beliau sudah banyak bantu saya. Selain itu, saya juga mahu belanja jurulatih untuk menggembirakan mereka.

"Duit selebihnya, saya akan gunakan untuk pembelajaran kerana bahan-bahan akademik sekarang tidak murah. Oleh itu, RM3,000 yang diterima nanti sangat membantu saya," kata penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Sementara itu, Yeoh mengakui sentiasa dibelenggu kerisauan setiap kali melihat anaknya melangkah masuk ke gelanggang.

"Jantung rasa macam nak keluar tetapi tidak ada rasa sedih atau apa pun, cuma teruja kerana boleh buat kesilapan dalam setiap pergerakan. Apabila dia beraksi, saya hanya mahu tengok dia tampilkan aksi terbaik," katanya.

-- BERNAMA