Abd Hamid yang kini berusia 70-an terus menabur bakti kepada sukan yang begitu dekat di hati sejak zaman remajanya, dengan membawa nama Malaysia sebagai "ikon kecil" dalam dunia catur di peringkat antarabangsa.
Malah beliau mencipta sejarah baru-baru ini apabila dipilih menjadi arbiter pertama dari Malaysia yang bertugas pada Kejohanan Catur Dunia di Singapura dari 25 Nov hingga 15 Dis ini.
"Sebagai seorang peminat catur, saya bukan pemain yang hebat, tetapi saya mahu menyumbang sesuatu kepada sukan catur, sebab itu saya menjadi arbiter.
"Kali pertama saya jadi arbiter tahun 1992 pada kejohanan di Novi Sad Yugoslavia. Saya berasa bangga apabila dipilih menjadi rakyat Malaysia yang pertama menjadi arbiter pada kejohanan catur dunia," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mengulas mengenai tugas sebagai seorang arbiter catur, Abd Hamid mengakui, ia bukan satu kerjaya mudah, kerana tugas berkenaan memerlukan ilmu dan pengalaman luas dalam menjadi penentu kepada pihak yang bertanding.
"Tidak semua orang boleh menjadi arbiter antarabangsa. Mereka perlu ada pengetahuan, sikap dan bakat yang betul, tetapi jika mereka bekerja keras dan bersungguh-sungguh, mereka juga boleh mencapai tahap itu (arbiter antarabangsa)," katanya. - BERNAMA