GEORGE TOWN: UMNO Pulau Pinang masih mengharapkan pucuk pimpinan parti dan Pas dapat membincangkan kembali bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata ini memandangkan situasi harmoni dan hubungan akrab yang berjaya dibentuk kedua-dua parti itu di Pulau Pinang.

"Situasi di Pulau Pinang ini lain, kita memang "amat rapat" dengan Pas. Jadi bila macam ini (UMNO gerak solo) kita terpaksa bertembung dengan Pas meskipun harapan UMNO (adalah untuk) mengelak pertembungan tiga penjuru membabitkan Pas.

"Kita masih berharap pucuk pimpinan Pas dan UMNO dapat selesaikan perkara ini...kalau tak boleh, kita terpaksa akur (dan) lawan secara friendly," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Pulau Pinang, malam tadi.

Khamis lepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO dan BN memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15 susulan keputusan Pas untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), atas prinsip penyatuan ummah.

Sementara itu Musa yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang berkata BN negeri kini mempunyai tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen untuk ditandingi selepas Gerakan keluar daripada gabungan itu pada 23 Jun 2018 dan menyertai Perikatan Nasional tahun lepas.

Pada PRU14, BN Pulau Pinang bertanding di 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen dengan Gerakan di 13 DUN dan empat Parlimen, UMNO (15 DUN, lima Parlimen), MCA (10 DUN, empat Parlimen) manakala MIC di dua DUN.

-- BERNAMA