KUALA LUMPUR: UMNO akan tetap menggunakan lambang dacing Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun tidak menolak untuk berkolaborasi dengan 18 parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ia merupakan antara lima tahap hala tuju baharu yang digariskan parti itu menerusi Taklimat Presiden yang disampaikan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata penggunaan lambang dacing itu merupakan permintaan pimpinan dan ahli parti sendiri, mengambil kira PRU Ke-16 yang akan berlangsung dalam tempoh tidak lebih tiga tahun lagi.

"Kita tidak menolak kolaborasi dengan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tak berlaku pertindihan dan terdapat kerjasama di dalam menggamit dukungan pengundi.

'Ini (kolaborasi) mesti dilakukan daripada sekarang, kerana kita tidak mahu keserasian itu diwujudkan hanya ketika pilihan raya. Sebaliknya ia mesti dibina dari sekarang," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Taklimat Presiden hari ini.