Apa yang pasti, rombakan kabinet perlu dilakukan penghujung tahun ini bagi menggantikan Tengku Zafrul namun apakah keputusan yang bakal beliau lakukan untuk masa depan politiknya? Timbul ura-ura semenjak hujung tahun lepas yang mengatakan Tengku Zafrul bakal meninggalkan UMNO dan menyertai PKR. Selepas pertemuan diantara Tengku Zafrul dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi minggu lepas, ura-ura ini seakan bakal menjadi kenyataan. Ahmad Zahid mengesahkan Tengku Zafrul telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu kepadanya pada minggu lepas. Namun beliau telah menasihati Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu untuk tidak membuat keputusan tergesa-gesa dan setakat ini, Tengku Zafrul masih lagi seorang ahli UMNO.
Ada pandangan yang mengatakan langkah meninggalkan UMNO tidak menjejaskan kestabilan parti kerana Tengku Zafrul selaku ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bukanlah di antara pemimpin yang berpengaruh dalam UMNO. Justeru tindakan ini tidak akan memberikan sebarang kesan apatah lagi melemahkan UMNO. Ia juga disifatkan bukan petanda kepada perpecahan parti kerana ini adalah keputusan yang bersifat peribadi. Secara kasarnya, pendapat ini ada logiknya, tetapi jika dinilai dengan teliti, kenyataan ini tidak berpijak di bumi yang nyata dan penuh dengan keangkuhan.
Pertama, dalam keadaan UMNO berhadapan dengan krisis kepercayaan dan ketandusan pelapis kepimpinan parti, kenyataan ini telah mengecilkan dan memandang rendah bakat kepimpinan yang ada pada Tengku Zafrul. Tidak dinafikan beliau hanyalah pendatang baharu dalam arena politik arus perdana, tetapi keupayaan beliau untuk bertahan di bawah pentadbiran tiga perdana menteri adalah sesuatu yang luar biasa. Sudah tentu ada sesuatu tentang beliau yang memaksa tiga perdana menteri mengangkat beliau sebagai anggota kabinet. Mungkin beliau bukan seorang yang berpengaruh di dalam parti tetapi mengecilkan beliau adalah keangkuhan yang nyata.
Kedua, latar belakang beliau sebagai ahli korporat serta hubungannya yang akrab dengan Majlis Raja-raja memberikan beliau kelebihan yang tidak dimiliki ahli politik yang lain. Pengaruh, hubungan, dan pengalaman beliau dalam bidang korporat adalah sesuatu yang boleh dibanggakan dan boleh digunakan oleh mana-mana parti politik yang menginginkan khidmat beliau. Ia adalah cerminan kepada ketokohan serta keupayaannya memimpin organisasi yang besar. Umum mengetahui, Majlis Raja-raja memainkan peranan penting untuk meletakan Tengku Zafrul di dalam kabinet. Betullah beliau bukan mempunyai pengaruh besar dalam parti tetapi pengaruh di luar parti yang dimilikinya perlu dimanfaatkan oleh UMNO untuk kembali mendapatkan sokongan.
UMNO sekarang berada dalam keadaan ketandusan pemimpin pelapis yang berwibawa. Jangankan hendak mencari pemimpin tertinggi, untuk mencari ketua bahagian pun sukar untuk dilakukan. Ramai yang melihat UMNO tidak pernah berubah untuk bangkit dari kekalahan. Parti ini juga masih lagi dikuasai oleh muka-muka lama yang seakan tidak mahu berhenti dan menginsafi kekhilafan mereka. Maka melepaskan pelapis seperti Tengku Zafrul adalah kerugian yang besar kepada UMNO yang berada dalam keadaan hilang arah sekarang. UMNO sepatutnya memanfaatkan bakat seperti Tengku Zafrul dan yang lain untuk membantu menaikan kembali imejnya. Janganlah hanya kerana mereka ini orang baharu maka boleh untuk disisihkan begitu sahaja.
UMNO juga perlu sedar, pengaruh Raja-Raja sekarang sangat penting dalam sistem politik. Memiliki pemimpin yang mempunyai keakraban dengan Raja-Raja sangat membantu meningkatkan kembali imej UMNO yang dituduh sebagai tidak lagi mementingkan Melayu. Tengku Zafrul memiliki keupayaan itu. Kelibatnya di dalam kabinet yang dipimpin tiga perdana menteri yang berbeza adalah kerana pengaruh kuat Raja-Raja. UMNO tidak boleh lagi angkuh dan menidakkan perkara ini sebaliknya perlu menggunakan sosok ini dengan sebaik mungkin.
Memang betul, Tengku Zafrul lebih bersifat teknokrat daripada bersifat seperti orang politik yang lain. Beliau bijak melaksanakan tanggungjawab sebagai menteri tetapi sebagai orang politik beliau dilihat agak kekok. Tutur katanya tidak seperti orang politik yang lain. Pidatonya juga agak serius. Tetapi ini semua boleh dibentuk. UMNO perlu mengilap bakat-bakat ini, bukannya membuang mereka. Jangan kita lupa, di awal kemunculannya dalam politik, Zahid juga bukanlah orator yang baik, bercakap dengan mendatar, dan tidak nampak ketokohannya. Tetapi sekarang semua sudah berubah. Sapa yang sangka beliau akan memimpin UMNO.
Justeru UMNO tidak boleh memandang remeh sumbangan ahlinya dan menganggap mereka tidak mempunyai pengaruh dalam parti. Keangkuhan seperti inilah yang bakal membunuh UMNO. UMNO perlu berubah dan menetapkan hala tuju yang jelas terutamanya dalam memenangi semula hati pengundi melayu. Bagi Tengku Zafrul, dengan UMNO atau pun parti lain, beliau memiliki kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Jadi apa juga keputusannya masa depan politik beliau akan cerah tetapi jika tidak bersama UMNO, ini adalah kerugian yang sangat besar untuk parti itu. Sekiranya beliau tidak melihat masa depan yang cerah di dalam UMNO dan UMNO masih bersikap tidak menghargai ahlinya, adalah lebih baik untuk Tengku Zafrul tinggalkan parti ini dan memilih Parti yang lain.
* Firdaus Ramli merupakan pensyarah di UiTM Kedah
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
