Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata hasrat ADIA itu dikongsi oleh Pengarah Urusannya Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan serta barisan kepimpinan lain seperti Khalil Foulathi dan Mohamed Al Ameri semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Abu Dhabi susulan lawatan kerja beliau selama tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Pertemuan di Abu Dhabi ini membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama pelaburan strategik antara Malaysia dan UAE," kata Tengku Zafrul menerusi hantaran di laman Instagram beliau hari ini.
Menurutnya, sebagai pelabur global berimpak tinggi ADIA memainkan peranan penting dalam sektor infrastruktur, kesihatan, tenaga, dan banyak lagi di peringkat antarabangsa.
Antara pelaburan utama ADIA di peringkat global termasuklah lapangan terbang di United Kingdom dan Perancis, Pelabuhan Khalifa di UAE, projek infrastruktur logistik di India dan sektor tenaga di Amerika Syarikat.
Di Malaysia, komitmen ADIA dilakukan melalui pelaburan yang selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi MADANI.
Beliau berkata antara sumbangan penting ADIA di negara itu termasuklah kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selain pelaburan dalam projek infrastruktur utama yang menyokong pertumbuhan mampan negara.
"Menerusi perbincangan tersebut juga, ADIA yang telah sekian lama melabur di Malaysia memberi komitmen untuk terus mempertingkat dan memberi tumpuan utama dalam mencipta nilai yang lebih besar untuk memastikan kejayaan pelaburan di Malaysia di pelbagai sektor termasuk dalam transformasi MAHB.
"Ini jelas menunjukkan keyakinan kukuh terhadap dasar kerajaan yang mesra pelabur yang akan memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang," kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata melalui hubungan strategik ini kerajaan komited untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama pelaburan berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi, mencipta peluang pekerjaan baharu dan merancakkan pembangunan ekonomi negara.
-- BERNAMA