UMNO dan PAS perlu duduk semeja bagi menyelesaikan perbezaan ideologi dan mencari titik persamaan untuk kepentingan Islam, kata Imam Feisal Abdul Rauf.

Pengerusi Cordoba Initiative itu, sebuah badan bukan kerajaan Amerika Syarikat berkata secara umumnya perbezaan ideologi politik telah menyumbang kepada masalah utama di dalam dunia Islam Khamis.

"Kedua-dua parti adalah orang Islam, Melayu dan keduanya pengikut Mazhab Syafie, tetapi terdapat satu jurang yang besar. Faktor ideologi merupakan faktor yang memecahbelahkan.

Jika kita dapat merapatkannya di Malaysia, Mesir, Tunisia dan beberapa negara Islam lain ia akan menjadi pemulihan penting kerana kita adalah satu umat yang menyembah Tuhan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan syarahan umum 'Indeks Peraturan Undang-undang dan Pembangunan Kerajaan Islam' di Institut Antarabangsa Kajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia di sini Khamis.

Feisal telah berkhidmat sebagai Imam Masjid al-Farah, sebuah masjid 12 blok dari Ground Zero di Bandaraya New York dari 1983 ke 2009.

Beliau menubuhkan Cordoba Initiative yang menggunakan agama untuk menambah baik hubungan Islam-Barat dan menyediakan penyelesaian inovatif di dalam kawasan konflik antara masyarakat Islam dan Barat yang menjejaskan keselamatan tempatan dan sejagat.

Feisal juga menulis tiga buku berkenaan Islam dan tempatnya di dalam masyarakat Barat sezaman termasuk "What's Right With Islam Is What's Right with America".