KUALA LUMPUR: Menteri-menteri yang mewakili UMNO sedia memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi, jika diperlukan untuk memberikan keterangan dalam prosiding semakan berhubung Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu antara yang dibincangkan dan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung pada Jumaat malam.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, parti itu yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut.

"UMNO juga merakamkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum," katanya dalam sidang media di sini malam ini.

Asyraf Wajdi menambah, mesyuarat MKT turut mencapai kata sepakat bahawa UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib, yang juga bekas Presiden parti Melayu itu.

Ujar beliau, ia selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

"UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan parti untuk mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi kepadaYang di-Pertuan Agong," kata beliau.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.

Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan bekas Perdana menteri itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.