KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang menyertai parti Pas, tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Melaka.


Ringkasan AI
  • Kedudukan Kerajaan Negeri Melaka: Penyertaan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis ke dalam parti Pas tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Melaka kerana kerajaan masih mempunyai majoriti mandat yang diberikan oleh rakyat1.
  • Tindakan Susulan: Tindakan susulan terhadap Jailani mengenai kedudukannya sebagai ADUN akan diumumkan oleh Speaker DUN Melaka. UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga akan membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan aku janji yang ditandatangani oleh Jailani.
  • Penafian Dakwaan: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan dakwaan Jailani bahawa peruntukan di kawasannya telah disekat. Beliau menyatakan bahawa Jailani sendiri memilih untuk tidak terus berjuang dalam parti, menyebabkan keistimewaannya terhalang.


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dengan kedudukan hanya tambahan seorang ADUN daripada blok pembangkang menjadikan ia tiga, kerajaan akan komited meneruskan dengan majoriti mandat yang diberi oleh rakyat Melaka.

Bagaimanapun, Ab Rauf berkata tindakan susulan yang akan dikenakan kepada Muhamad Jailani berkenaan kedudukannya sebagai ADUN adalah tertakluk kepada pengumuman oleh Speaker DUN Melaka sendiri.

Manakala berkenaan dengan tindakan yang akan diambil oleh parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang diwakilinya sebagai wakil rakyat, akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi dalam masa terdekat berdasarkan undang-undang, dan aku janji yang pernah ditandatanganinya sebelum ini.

"Beliau telah menandatangani satu aku janji, penghijrahan kepada parti politik asal, nak jadi wakil rakyat.

"Dalam aku janji tersebut ada menyebut tentang kesediaan menerima apa jua syarat yang ditandatangani, termasuk mengambil kira semua kos sekiranya beliau beralih kepada parti lain.

"MT akan membuat penelitian dari sudut perundangan untuk diambil tindakan susulan," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sementara itu menjawab dakwaan Jailani Khamis memberitahu peruntukan di kawasannya telah disekat hingga menyukarkan memberi perkhidmatan kepada rakyat seolah-olah digantung tidak bertali, katanya ia adalah tidak tepat.

Bagi Ab Rauf itu merupakan perkara yang Jailani sendiri pilih untuk tidak terus berjuang kepada parti hingga keistimewaannya terhalang, walaupun pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO

"Seronok cara dia cakap, patutnya bila parti ambil tindakan dalam idah digantung keahlian, sepatutnya ikut parti supaya perbaiki kesilapan atau kesalahan yang membuatkan dia digantung keahlian.

"Jadi kalau kita bersikap tidak sealiran dengan parti, maka parti berhak jalankan tugas sebagai pentadbir wakil rakyat parti ini dengan memberikan amaran dan tidak memberikan kemudahan, berlandaskan aku janji.

"Kalau cakap macam begitu saya tak berapa setuju, seolah-olah kita bernikah tidak bertali, bercerai tanpa talak," katanya lagi.

Ketika ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menunggu surat rasmi daripada Muhamad Jailani susulan penyertaannya ke dalam Pas, sebelum mengambil sebarang tindakan.

Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, setakat ini pihaknya belum dimaklumkan secara rasmi dan perbincangan berhubung perkara itu akan diadakan.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.

Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.