PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bersatu Johor setakat ini tidak berhasrat untuk menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dari parti UMNO.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Bersatu Johor,  berkata fokus parti itu ketika ini adalah mengenai perihal rakyat selain tidak mahu menimbulkan sebarang pergolakan di semua peringkat.

"Setakat hari ini tiada apa-apa keputusan dibuat (tidak sokong Menteri Besar Johor).

"Fokus Bersatu, fikir tentang rakyat, agar tidak timbul pergolakan yang akan bawa kesan buruk di negeri (Johor) dan peringkat negara," katanya ketika ditanya pemberita mengenai sama ada Bersatu Johor akan menarik balik sokongan terhadap Hasni.

Muhyiddin berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor secara berasingan di sebuah hotel di sini hari ini.

Muhyiddin menegaskan seperti pendirian di peringkat kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan semua menteri dari UMNO dalam Kabinet, pendirian sama juga kekal bagi kerajaan Johor.

Beliau turut mengharapkan agar UMNO di Johor bertindak lebih adil terhadap Bersatu susulan terdapat rungutan tentang pembahagian jawatan ketua kampung yang dibuat tanpa rundingan yang betul.

"Perkara itu (agihan jawatan ketua kampung) timbulkan rasa tak puas hati, tapi untuk menjaga kemaslahatan masyarakat di Johor...kita akan terus bersama (UMNO).

"Itu janji kita, bukan untuk UMNO...tapi untuk Johor," katanya.

Semalam, media melaporkan Bersatu Johor memberi peringatan bahawa kerajaan Johor boleh tumbang pada bila-bila masa, jika mana-mana dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membentuk kerajaan negeri itu kecewa dengan pendirian UMNO Johor.

Peringatan itu diberikan Timbalan Pengerusi Bersatu  Johor, Md Nasir Hashim, susulan kenyataan terbuka  oleh Hasni  yang juga  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 Ahad lalu, yang disifatkan memperkecilkan Bersatu  yang memberi sokongan kepadanya bagi menubuhkan kerajaan Johor, tahun lalu.

UMNO menerusi PAU2020 Ahad lepas secara sebulat suara bersetuju dengan usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hadir pada menyuarat itu hari ini ialah Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam Datuk Osman Sapian, Setiausaha Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Mersing Datuk  Dr Abd Latiff Ahmad.

-- BERNAMA