Pengerusi SPR Tan Sri Hashim Abdullah meminta semua rakyat Malaysia bersabar menunggu keputusan rasmi pilihan raya umum ke-14.

Jelasnya pihaknya tidak menghalang keputusan rasmi daripada diumumkan secepat mungkin seperti mana didakwa oleh orang ramai.

"Berbagai-bagai spekulasi yang dibuat, tetapi apa pun berlaku di negeri atau di tempat mengundi itu sendiri dan mungkin ada halangan-halangan tertentu.

"Sistemnya adalah daripada pusat undi, borang 14 akan dibawa kepada ke pusat pulang undi kemudian dari pusat jumlahan undi, dan terus hantar ke PPN (Pejabat Pilihan raya Negeri).

"Apabila ia telah disahkan oleh PPN, kita tak ada halangan untuk diisytiharkan siapa menang. Pengisytiharan siapa menang dah dibuat, dengan kita sudah lihat angka tersebut. Kita tidak ada halangan dalam aspek ini.


Beliau juga memaklumkan akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan semua kerusi yang dimenangi oleh setiap parti yang bertanding.

"Jangan ada syak wasangka semua, kami semua menunggu macam you all semua," katanya kepada wartawan.

Secara berseloroh, beliau juga mengajak semua wartawan yang menghadiri sidang media berkenaan untuk bermalam di pejabat SPR di Putrajaya.