TEHRAN: Bekas menteri kesihatan Masoud Pezeshkian telah dipilih sebagai Presiden baharu Iran setelah menewaskan lawannya Saeed Jalili, iaitu bekas ketua perunding nuklear yang juga ketua badan keselamatan dengan margin 2.7 juta undi, menurut Suruhanjaya Pilihan raya Iran awal Sabtu.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa Pezeshkian memperoleh 16,384,403 undi daripada 30,530,157 undian, manakala Jalili terpaksa berpuas hati dengan memperoleh 13,538,179 undi.

Pilihan raya pusingan penentuan pada Jumaat mencatat peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding pusingan sebelumnya.

Sebelum ini, Pezeshkian berjaya mengatasi pesaing lain yang lebih terkenal dalam pilihan raya Jumaat lepas dengan menerima jumlah undian tertinggi.

Calon reformis itu memperoleh 10.4 juta undi daripada 24.5 juta dalam pilihan raya 28 Jun, mengatasi Jalili dan Speaker Parlimen Mohammad Baqer Qalibaf.

Sebagai figura politik berprofil rendah, Pezeshkian pernah berkhidmat sebagai menteri kesihatan dalam kerajaan Mohammad Khatami (2001-2005).

Seorang pakar kardiologi, Pezeshkian pernah mengetuai Universiti Sains Perubatan Tabriz, antara institusi perubatan terkemuka di utara Iran.

Dua percubaan beliau untuk menjadi presiden pada 2013 dan 2021 tidak berjaya.

Sebagai satu-satunya calon reformis dalam pilihan raya kali ini dan disokong oleh gabungan reformis terkemuka negara, Pezeshkian sibuk berkempen dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Kempennya disokong dengan kehadiran bekas ahli politik dan menteri-menteri reformis termasuk Javad Zarif yang berkhidmat sebagai menteri luar selama dua penggal di bawah pimpinan bekas Presiden Hassan Rouhani.

Tinjauan sebelum pilihan raya menunjukkan sokongan yang signifikan untuk Pezeshkian, terutamanya selepas lima debat presiden yang disiarkan di televisyen pada pusingan pertama memaparkan beliau lantang membincangkan isu-isu dasar domestik dan luar negara.

Pezeshkian dilihat lebih terbuka terhadap penglibatan diplomatik global termasuk Barat dan berhasrat untuk memulakan pembaharuan dalam bidang ekonomi dan budaya.

Dalam debat presiden, beliau menegaskan bahawa sekatan menjadi penghalang bagi menarik rakan dagang dan mencapai kadar pertumbuhan lapan peratus adalah mustahil tanpa membuka sempadan.

Beliau dengan tegas mempertahankan perjanjian nuklear 2015 yang dicapai antara Iran dan kuasa dunia semasa pentadbiran Rouhani.

Pezeshkian juga lantang mengenai isu-isu berkaitan wanita dan menyatakan tentangan terhadap rang undang-undang parlimen mengenai pelaksanaan etika pakaian Islam.

-- BERNAMA