Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan siasatan terbuka berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana menyifatkan mereka tidak lagi mahu mengusung 'bangkai hidup'.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata, beliau menyokong penuh usul yang difailkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) membuka semula penyiasatan mereka kepada 1MDB, membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

Bahkan menurut mantan Menteri Belia dan Sukan itu, ia juga akan membuka mata BN sendiri sekiranya terdapat perkara-perkara yang tersembunyi selama ini.

"Siasatan terbuka bagus kerana kita mahu rakyat tahu kebenaran tentang 1MDB. BN tidak mahu usung bangkai hidup ni lagi. Kita nak pastikan kita bebas daripada beban ini. Biar siasatan terbuka dan menyeluruh ini dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) atau sebagaikan.

"Kami pun nak tahu juga. Sebagai bekas anggota Parlimen mungkin ada perkara yang kami tidak diberitahu jadi kita pun nak tahu juga. Orang kata kenapa sekarang baru cakap begini adalah kerana sebelum ini kita tidak tahu ..ada benda-benda yang disembunyikan daripada kita juga," katanya ditemui sempena Pelancaran Buah Tangan Store KL City Walk, di sini, hari ini.

Terdahulu, Lim, bercakap mengenai perkara itu di Dewan Rakyat semalam, memfailkan usul untuk membuka semula siasatan 1MDB kepada orang ramai.