KUALA NERUS: Setiap aduan yang diterima berhubung keputusan pemilihan UMNO akan disiasat dengan teliti bagi memuaskan hati semua pihak.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini, tidak lebih 20 aduan telah sampai kepada Jawatankuasa Pemilihan parti itu sejak 11 Mac lepas membabitkan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di peringkat bahagian di seluruh negara.

"Kita akan melayan setiap aduan dan setiap ketidakpuasan hati dan saya telah diberitahu oleh Pengerusi Lembaga Disiplin serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan bahawa siasatan secara teliti akan dilakukan," katanya selepas Sesi Pengenalan Calon Pemilihan UMNO Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata selain memastikan semua pihak terutama pengadu berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan, siasatan teliti juga bertujuan untuk berlaku adil kepada sistem sedia ada.

"Tidaklah ada masalah besar, adalah masalah melibatkan peraturan yang tidak diikuti, itu akan diselesaikan... Mana-mana bahagian yang terlalu bermasalah besar maka pemilihan semula akan dilakukan.

"Kita belum ketahui lagi (keputusan) di peringkat pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Naib Presiden, Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

"Saya harap tiada masalah yang timbul kerana apa juga sistem yang kita lakukan, ibu pejabat akan lakukan yang terbaik dan jika terdapat kekurangan, sistem itu akan diperbaiki untuk pemilihan akan datang," katanya.

Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat bagi sesi 2023-2026 berlangsung pada 11 Mac lepas serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian di seluruh negara.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan MKT.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak memihak kepada mana-mana calon dan sesiapa sahaja yang menang akan menjadi pasukannya.

"Saya harap perwakilan pilihlah calon-calon Naib Presiden, MKT, Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap yang kita boleh letak harapan kepada mereka... Mudah-mudahan UMNO kembali kuat, perkasa dan harus relevan sebagai parti Melayu Islam yang dominan di negara ini," katanya.

-- BERNAMA