KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menafikan Sarawak berhasrat menjadi country within a country, sebaliknya tegas dengan kenyataan bahawa Sarawak adalah Malaysia.


Ringkasan AI
  • Penafian Status Country within a Country: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menafikan dakwaan bahawa Sarawak berhasrat menjadi country within a country dan menegaskan bahawa Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan Suruhanjaya Cobbold.
  • Kekuatan Ekonomi Sarawak: Abang Johari menjelaskan bahawa kekuatan ekonomi Sarawak akan menyumbang kepada kekuatan Malaysia secara keseluruhan. Beliau menekankan pentingnya sektor swasta dalam memacu ekonomi dan bagaimana cukai korporat yang dikutip oleh kerajaan Pusat juga memberi manfaat kepada negeri.
  • Kesetiaan dan Kepimpinan Politik: Abang Johari menekankan pentingnya kesetiaan kepada parti dan rakyat dalam perjuangan politik. Beliau juga menghargai kepimpinan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang mengekalkan beliau dalam parti walaupun terdapat perselisihan, demi kebaikan Sarawak.


Menjelaskan situasi itu, Abang Johari berkata dakwaan itu timbul susulan ramai yang tidak memahami latar belakang dan sejarah Sarawak kerana apa yang dilaksanakan ketika ini sudah termaktub dan dipersetujui mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Suruhanjaya Cobbold.

“Kita punya anthem sangat jelas, Sarawak dalam Malaysia. Pandangan saya begini. Kalau Sarawak ada beberapa sumber yang boleh dikuatkan, ada kekuatan ditambah nilai kepada sumber dan ekonomi kita kuat, Malaysia pun kuat.

“Kena ingat pemacu ekonomi ialah sektor swasta, kalau sektor swasta kuat, cukai siapa ambil? Bukan kerajaan Sarawak. Cukai korporat ke mana? Jadi kita kena faham pengurusan ekonomi.

"Kalau sektor swasta dipacu dengan baik, yang untung kerajaan Pusat juga, yang cukai kerajaan Pusat, bukan negeri tapi negeri mendapat faedah dari segi pendapatan dan peluang pekerjaan.

“Mungkin kita ada keistimewaan, cukai jualan di bawah kita, kita boleh kenakan mengikut apa yang ada dalam Perlembagaan.

“Memang benar masa saya buka Petros, Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak tanya kenapa? Saya kata adakah salah untuk menubuhkan syarikat di bawah Akta Syarikat?  Kemudian beliau kata okey, kita bekerjasama, Petros hanya sebuah syarikat milik negeri untuk berkhidmat kepada pemain dalam industri minyak termasuk Petronas," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Menjawab pertanyaan bagaimana meletakkan status Sarawak dalam bentuk istilah, Abang Johari berkata, ia didefinisikan berasaskan tiga komponen yang membentuk Malaysia iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Orang kata region (wilayah) dan kita berpandu pada Pertubuhan Malaysia antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, tiga komponen.

“Jadi definisinya berasaskan tiga komponen dalam sebuah negara bernama Malaysia. Ada orang tak suka, terpulang pada interpretasi tapi niat kita baik iaitu Malaysia mesti aman dan ekonomi Malaysia kuat.

“Kalau Sarawak kuat, Malaysia kuat,” katanya lagi.

Sementara itu, menyentuh tentang kebangkitannya dalam politik biarpun pernah melalui era kegelapan, Abang Johari meletakkan kepercayaan sebagai kunci utama, selain faktor kesetiaan kepada parti.

Tegasnya, perjuangan politik harus disasarkan pada matlamat utama, iaitu rakyat dan parti dan bukan untuk diri sendiri.

“Orang selalu tanya kenapa saya suka diam. Saya cakap rakyat lebih penting daripada saya, parti lebih penting daripada saya. Kalau parti berpecah apa akan jadi?

“Kedua, pimpinan kena tahu (pandai) juga. Saya mesti nyatakan di sini Allahyarham Tun Taib bijak, beliau tak keluarkan saya (dari parti).

“Pucuknya pimpinan juga penting, kalau di atas tak memahami perjuangan kita, dia akan suruh kita keluar,” katanya.

Abang Johari merujuk tindakan bekas ketua menteri, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang mengekalkan beliau dalam parti walaupun terdapat perselisihan antara mereka, dan memilih untuk bekerjasama demi Sarawak.

Jelasnya lagi, parti politik berfungsi seperti sebuah pasukan bola sepak, yang memerlukan bukan sahaja pemain yang tahu peranan masing-masing, tetapi juga kapten yang faham peranan setiap individu dalam pasukannya.

“Bola mesti pass, kalau anda seorang saja pegang bola pasukan tak boleh menang. Itulah caranya.

“Pasukan akan sentiasa ada, pasukan baharu, kapten baru tetapi cita-cita masih sama, semangat Ngap Sayot tetap ada,” ujarnya lagi.