KUALA LUMPUR: Pindaan Perkara 10 Perlembagaan bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti yang dibentang di Parlimen perlu diperhalusi agar tidak memberi kesan jangka panjang kepada landskap politik serta rakyat.

Jelas Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin pindaan Perkara 10 dan 48 Perlembagaan itu bukan sesuatu perkara yang memeranjatkan dan telah termaktub dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dan pembangkang.

"Saya rasa kerajaan sekarang terikat dengan Memorandum Persefahaman (MoU) ini, mereka buat inisiatif ini.

"Ada beberapa syarat dalam MoU itu antaranya lompat parti dan jawatan Perdana Menteri hanya dua penggal sahaja, jadi ini tidak memeranjatkan," jelasnya.

RUU Lompat Parti | Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan - Shamsul Amri


Ujarnya, meskipun tafsiran dan Pindaan Perlembagaan Perkara 10 akan dilaksanakan, namun menjadi kebimbangannya adalah kesan jangka panjang yang boleh berlaku.

"Cuma saya cakap perkara ini ada kesan jangka panjang dan kesan lain berlapis-lapis. Saya rasa ada unsur emosi dalam Pindaan Perlembagaan ini, kerana tidak pernah orang menyebut Artikel 48, ia jarang sekali.

"Kerana kalau ahli politik kita fokus, mengapa kita nak cakap dekat rakyat jangan lompat parti. Jadi bagi saya, kita kena fikirkan adakah ini bermakna melibatkan ahli politik sahaja tidak termasuk rakyat di bawah atau macam mana.

"Kadang-kadang kita bincang juga terlalu melibatkan golongan elit perbincangan ini sehingga melupakan rakyat di bawah bersetuju atau tidak," jelasnya ketika temubual Buletin AWANI Khas pada Isnin.

Mengulas mengenai sasaran kerajaan pembentangan RUU Antilompat Parti menjelang Julai depan, jelasnya kemungkinan ia mengambil masa lebih daripada itu.

"Jadi kena fikir, saya tidak jangka benda ini boleh selesai bulan Julai lah, tidak akan habis. Macam-macam kes kita nak timbulkan, kalau dah buat Perakuan Bersumpah (SD) ini semua kita dah dengar kempen politik kita.

"Ia sekali gus mengehadkan hak asasi seseorang dalam menentukan masa depan dan pilihan mereka. Bukan perkara mudah, tapi kalau serius fikirkan rakyat dan kesannya saya rasa kita perlu mengambil waktu," katanya lagi.