KUALA LUMPUR: Datuk Dr Roslan Hussin masih lagi memegang jawatan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).


Ringkasan AI
  • Datuk Dr Roslan Hussin masih memegang jawatan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, meminta Roslan untuk terus fokus pada tugasnya dan tidak terganggu oleh dakwaan pelantikan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  • Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil sebelum ini mengumumkan pelantikan Roslan sebagai ahli MPP yang baharu. Namun, kewajaran lantikan itu dipertikai Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden.


Justeru, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata meminta beliau terus fokus kepada tugasnya sebagai Pengarah JPNS.

Menurutnya, setakat ini kementerian tidak menerima makluman berhubung dakwaan Roslan dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa, sebarang makluman berkaitan pelantikan beliau itu.

“Jadi saya minta beliau untuk fokus pada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, lakukan tugas seperti biasa.

“Beliau masih lagi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, masih lagi penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah 'Digital Utilisation and Technology' (DUTA) Peringkat Kebangsaan tahun 2023 dan Pelancaran Pameran MyDigitalMaker (MDMF) di Auditorium Pusat Sains Negara pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan PKR mengumumkan rombakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di tujuh negeri melibatkan Sarawak, Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Rombakan itu dibuat selepas enam negeri lain turut menerima kepimpinan baharu pada Februari lepas.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, MPP turut mengumumkan pelantikan bekas Pengerusi MPN Sabah, Datuk Sangkar Rasam; Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail dan Pengarah JPNS, Roslan sebagai ahli MPP yang baharu.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden kemudian mempertikaikan pelantikan Roslan sebagai ahli MPP yang baharu buat parti tersebut.

Beliau mempersoal mengenai kewajaran pelantikan berkenaan berikutan semakan di laman web KPM mendapati Roslan juga individu sama yang memegang jawatan Pengarah JPNS.