SEOUL: Kebakaran yang berlaku di Muzium Nasional Hangeul di tengah Seoul pada Sabtu berjaya dipadamkan selepas kira-kira empat jam, dengan seorang anggota bomba cedera manakala artifak di muzium itu tidak terjejas, menurut pihak berkuasa.

Pejabat Daerah Yongsan dan pihak bomba memaklumkan bahawa kebakaran bermula pada 8.40 pagi di tingkat tiga sebelum merebak ke tingkat empat, dan bahan binaan yang disimpan di tapak pembinaan menyukarkan usaha pemadaman api, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kecemasan Tahap 1 dalam tempoh 50 minit selepas kebakaran tercetus dan mengerahkan 262 anggota untuk mengawal kebakaran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar 12.30 tengah hari.

Ketika kejadian, muzium berkenaan ditutup kepada orang ramai bagi kerja-kerja pembesaran. Seorang anggota bomba mengalami kecederaan selepas dihempap serpihan keluli yang jatuh dan segera dikejarkan ke hospital.

Dua pekerja pembinaan berjaya diselamatkan, manakala empat lagi sempat menyelamatkan diri.

Sejak kerja pembesaran dimulakan, pihak muzium telah menyimpan artifaknya di lokasi berasingan bagi mengelakkan kerosakan. Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa telah memindahkan artifak yang masih ada ke Muzium Kebangsaan Korea berdekatan untuk disimpan dengan selamat.

Pihak berkuasa mengesyaki kebakaran mungkin berpunca daripada percikan api akibat kerja pemotongan keluli di tapak pembinaan. Siasatan penuh sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

Muzium yang ditubuhkan pada 2014 itu didedikasikan untuk memelihara serta mempromosikan kepentingan linguistik dan budaya sistem tulisan Korea, Hangeul.

Menteri Kebudayaan, Yu In-chon, mengunjungi muzium berkenaan yang terjejas akibat kebakaran dan menggesa pihak berkaitan untuk bekerjasama rapat dengan jabatan bomba bagi memastikan tindakan segera dan menyeluruh diambil.

Menurut kementerian, Yu telah diberi taklimat mengenai usaha pemadaman kebakaran dan tahap kerosakan. Beliau mengarahkan kakitangan muzium serta pasukan kecemasan untuk mengutamakan kawalan kebakaran serta usaha mengurangkan kerosakan dengan kerjasama pihak bomba.

-- BERNAMA