KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka membentangkan Dasar Wajib Pendidikan Sekolah Menengah pada sesi Dewan Rakyat Februari ini, bagi menangani masalah kehadiran dan keciciran serta meningkatkan kualiti pendidikan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata pengenalan dasar berkenaan juga antara lain bagi menangani masalah ketidakhadiran pelajar pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata kementerian juga telah melaksanakan tindakan sewajarnya bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah sepanjang tahun.

"... bukan hanya setakat SPM sahaja kita buat tindakan. Ia adalah proses yang kita jalankan sepanjang tahun bagi memastikan anak-anak ini hadir ke sekolah antaranya seperti program Cakna Ziarah di peringkat komuniti," katanya.

Fadhlina berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun 2025 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.

Buat masa ini, dasar Pengoperasian Pendidikan Randah Wajib berkuat kuasa, yang mewajibkan ibu bapa warganegara yang menetap di Malaysia mendaftarkan anak mencapai enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa di sekolah rendah dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan rendah.

Sementara itu, ketika ditanya isu kira-kira 10,000 calon SPM 2024 tidak mengesahkan kehadiran seperti dilaporkan pada 2 Jan lepas, Fadhlina berkata pihaknya sedang meneliti jumlah kehadiran pelajar pada peperiksaan tersebut.

"Peperiksaan masih berlangsung sehingga 6 Feb, jadi jumlah yang disebut masih lagi belum matang. Oleh itu, kita minta masa untuk merumus bagi memastikan semua proses kehadiran ini mendapat konklusi yang lebih tepat. Jadi bagi kita masa," katanya.

Fadhlina turut mengingatkan ibu bapa untuk sama-sama bertanggungjawab memastikan anak mereka hadir menduduki peperiksaan SPM kerana peperiksaan terakhir di peringkat sekolah itu sangat penting.

Ditanya mengenai dakwaan kebocoran kertas peperiksaan subjek Sejarah pada SPM 2024, Fadhlina berkata KPM telah mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi menjaga keselamatan dan kerahsiaan kertas peperiksaan SPM yang bersifat 'high stake exam' (peperiksaan taruhan tinggi) itu.

"Setakat ini, KPM telah mengambil semua langkah memastikan integriti kertas peperiksaan SPM dijaga sepenuhnya, sebagaimana tanggungjawab, maruah dan kepentingan negara," katanya.

Pada 9 Jan lepas, KPM dalam kenyataan memaklumkan dakwaan kebocoran kertas peperiksaan subjek Sejarah itu adalah tidak berasas dan tangkap layar yang tular hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.

KPM juga memaklumkan tiada sebarang soalan dalam kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan, menjadikan dakwaan itu tidak menepati definisi kebocoran ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan.

-- BERNAMA