Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui, parti pimpinannya akan berdepan jalan sukar berdasarkan kekalahan di Pilihan Raya Negeri Johor, Mac lalu, namun, itu tidak akan melemahkan semangat mereka.
"Saya yakin kita perlu reset landskap politik di negara ini. Pertama kali, parti berdaftar di RoS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) pimpinan Sabah menawarkan diri.
"Kita sedar kita tidak menang di Johor tetapi kita sedar ribuan yang beri sokongan walaupun hanya sempat berkempen tiga minggu sahaja.
"Apa yang berlaku, penduduk di setengah kawasan gemar pilih calon Bebas, bukan (atas dasar) parti. Pernah berlaku di Johor, calon Bebas menang, di Perak juga begitu.
"Kalau calon Bebas boleh tawar diri, takkan parti yang punya kekuatan di Sabah sebagai landasan tidak boleh bertanding menawarkan tokoh yang ada kebolehan dan keupayaan?" soal beliau dalam sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Calon-Calon Warisan Kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), di sini, pada Selasa.
Shafie juga tegas dengan pendirian berdiri Warisan untuk berdiri tanpa gabungan, namun, jika diperlukan, beliau bersedia mempertimbangkan untuk menyertai mana-mana gabungan selagi ia selari dengan aspirasi parti itu.
"Gabungan itu kepentingan siapa jadi Perdana Menteri, siapa pegang jawatan, (sedangkan) masalah rakyat cukup besar tetapi untuk kepentingan rakyat, kita perlu bergabung.
"Dari bergabung dengan parti, baik saya bergabung dengan rakyat, Warisan tawar berdiri tanpa gabungan. Kita tengok keadaan, mandat rakyat diputuskan, saya akur.
"Kalau rakyat putuskan kita perintah, kita perintah, tak perlu ada gabungan. Tetapi kalau mandat rakyat putuskan sesuatu, di mana mandat rakyat yang ada, kita kena lihat landskap politik yang ada hala tuju, ke mana parti ini nak bawa, pakatan ini nak bawa ke mana.
"Kalau selari dengan harapan kita, inspirasi rakyat di negara ini, saya akan perhitung dan teliti secara mendalam," tambahnya.
Terdahulu, Warisan mengumumkan akan bertanding sebanyak 26 kerusi Parlimen di Semenanjung dalam PRU15 yang diadakan pada 19 November ini.
Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung, parti itu akan bertanding sebanyak 16 kerusi setakat ini.