ALOR SETAR: Parti Warisan (Warisan) Kedah menyasarkan untuk bertanding di lapan daripada 13 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi berkata, kesemua lapan kerusi Parlimen negeri Kedah yang ingin ditandingi parti itu ialah Alor Setar, Sungai Petani, Merbok, Padang Serai, Baling, Kuala Kedah, Pendang dan Pokok Sena.

Sehubungan itu, kata beliu, senarai nama calon telah diserahkan ke peringkat Pusat dan akan dimuktamadkan selepas mendapat kata putus Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Setakat ini kita sudah ada lapan kerusi Parlimen yang difikirkan sesuai untuk diangkat, kita (Kedah) ada 13 (kerusi Parlimen), yang kita kenal pasti lapan dahulu.

“Keputusan sebenar berapa kerusia DUN (Dewan Undangan Negeri) dan juga Parlimen akan diputuskan oleh Presiden parti berdasarkan prestasi calon yang akan bertanding,” kata Fadzil dalam sidang media selepas mendengar rintihan penduduk Flat Simpang Kuala, di sini, hari ini.

Fadzil memaklumkan, pihaknya turut menyasarkan untuk bertanding di kawasan DUN dalam Parlimen tersebut.

Katanya, walaupun parti itu baru sebulan bertapak di negeri Jelapang Padi ini, namun, sambutan yang diberikan di beberapa tempat cukup baik.

Justeru, Fadzil berkata, beliau bersama jentera parti berusaha turun padang untuk mempromosikan Warisan.

Jelasnya, Warisan berjaya menambat hari rakyat kerana agenda dibawa iaitu prihatin dengan isu dan masalah dihadapi rakyat.

“Warisan cukup prihatin dengan isu-isu dan masalah yang dihadapi rakyat sebab itu di antara program yang kita adakan hari ini ialah kita hendak tunjuk kepada masyarakat kita prihatin dan bukan setakat kita kumpul isu-isu dan kita akan bawa ketengahkan isu itu.

“Kalau kita boleh berjaya selesaikan isu yang dibangkitkan oleh rakyat, maka kita rasa itu satu kejayaan yang cukup besar, kemudian terpulang kepada masyarakat untuk menilai,” ujar Fadzil.

Pada 17 September lalu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah melancarkan parti itu di negeri Kedah.