KULIM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai Datuk C. Sivarraajh mengakui berdepan cabaran agak hebat bagi memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memandangkan dia bukan anak tempatan.

Bagaimanapun Sivarraajh yang juga bekas Ketua Pemuda MIC berkata beliau menyahut cabaran bertanding di kawasan itu dan bertekad memenanginya atas tiket BN kerana yakin ia tidak mustahil dilakukan.

"Jika saya sendiri tidak berani mengambil cabaran untuk pergi ke kawasan baharu dan memenangi hati masyarakat di sana, tiada siapa yang akan berani berbuat demikian.

"Saya datang sini untuk menang. Saya akan pastikan kemenangan buat Barisan Nasional," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Mengenai penerimaan pengundi di kawasan itu, Sivarraajh yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC berkata sambutan pengundi terhadap BN memberangsangkan kerana pengundi Padang Serai lebih peka mengenai kepentingan mewujudkan sebuah kerajaan stabil.

"Saya yakin rakyat kini percaya kena ada kestabilan politik dan satu kerajaan yang kukuh. Kita mesti ingat bahawa tahun depan diramalkan akan ada kemelesetan ekonomi.

"BN ada pengalaman tangani krisis ekonomi pada 1998 dan 2018. Saya percaya 2023, kita boleh mengendalikan krisis itu dengan baik," katanya.

-- BERNAMA