Itu antara pesanan yang ditegaskan menerusi khutbah Jumaat di seluruh Perak pada Jumaat, dengan tajuk Pilihan Raya: Tanggungjawab Ummah Kepada Negara.
Selain itu, pihak berkenaan juga diminta tidak mensensasikan isu agama dan kaum bagi meraih laba politik pada PRU.
Menurut teks khutbah berkenaan, tindakan tersebut dikhuatiri menyemaikan rasa kebencian dan akhirnya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
"Selain itu, tidak mengamalkan budaya menyogok rasuah untuk mendapat sokongan pengundi.
"Kerana dikhuatiri calon yang menggunakan pengaruh rasuah atau memberi rasuah untuk mendapatkan sokongan, akan mengamalkan perangai menerima rasuah apabila diserahkan amanah dan kuasa.
"Tidak melakukan dosa menyebar fitnah, memaki hamun, mencerca dan mengaibkan lawan semasa berkempen.
"Tidak melakukan perbuatan khianat, merosakkan harta benda awam, melakukan kacau bilau, atau mencetuskan sengketa mengganggu dan mengugut pihak lawan.
"Tidak menggunakan masjid, surau dan institusi agama Islam sebagai tempat berkempen.
"Mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa dan petugas, antaranya Suruhanjaya Pilihan Raya, polis, Jabatan Agama Islam, Pegawai Daerah, pihak berkuasa tempatan, pegawai masjid dan surau serta RELA," jelas teks khutbah tersebut.
Katanya, pilihan raya memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kepimpinan negara.
Tanggungjawab memilih ahli Parlimen dan ahli Dewan Negeri kini diserahkan kepada rakyat.
Wakil-wakil yang dipilih dirujuk sebagai wakil rakyat, iaitu individu yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri.
"Selepas berakhirnya pilihan raya, kumpulan yang mendapat sokongan majoriti, akan diberikan peluang untuk menyembahkan cadangan kepada Raja Pemerintah.
"Hasrat mereka untuk mencalonkan seorang wakil menjadi ketua kerajaan, selanjutnya membentuk kerajaan, baik di peringkat Persekutuan begitu juga di peringkat negeri.
"Ketua kerajaan yang diperkenankan lantikan dan kerajaan yang diperkenankan pembentukannya akan mengambil tanggungjawab mengurus tadbir negara atau pun negeri.
"Untuk dibangunkan dan dimajukan, dengan harapan dapat melimpahkan nikmat kebahagiaan, kesejahteraan dan kesentosaan kepada rakyat jelata," katanya lagi.
Jelas teks khutbah itu lagi, Islam ialah agama yang memandang pemilihan dan pelantikan pemimpin sebagai suatu kewajipan yang perlu ummah lakukan.
Katanya, meskipun al-Quran dan hadis tidak memperincikan kaedah atau cara memilih pemimpin, akan tetapi al-Quran dan hadis serta para sarjana Islam telah memberikan gambaran mengenai siapakah orang yang seharusnya dipilih dan seterusnya ditaati, serta syarat yang harus dimiliki oleh seorang pemimpin.
"Pemimpin memberi erti, orang yang memiliki kemahiran membina dan membangunkan orang lain.
"Pemimpin berkeupayaan menunjukkan panduan untuk mencapai matlamat dan mendorong pengikut melaksanakan tanggungjawab.
"Peranan dan tanggungjawab pemimpin lebih luas daripada pengurus, kerana pemimpin berusaha mempengaruhi gelagat seseorang insan atau kumpulan.
"Pemimpin yang baik lagi berkesan ialah pemimpin yang senantiasa berhubung rapat dengan pengikutnya," katanya.
Katanya, pemimpin mengikut takrif para sarjana Islam, dapat diertikan seseorang yang dilantik untuk menerajui suatu kepimpinan urusan pentadbiran awam, atau pun organisasi kemasyarakatan, dengan matlamat membawa kebaikan sama ada di dunia mahupun akhirat.
Katanya lagi, menurut Imam Al-Mawardi, selepas kewafatan Nabi SAW, menentukan sistem pemerintahan sesebuah negara merupakan kewajipan ummah dalam mengurus hal ehwal negara serta menjaga kemurnian agama dan mengatur urusan ummah.
"Menurut Al-Mawardi, pemimpin hendaklah berupaya membawa manusia lebih dekat kepada kemaslahatan (atau faedah) dan jauh daripada kebinasaan.
"Seorang pemerintah hendaklah bersifat tawaduk, adil dan saksama agar menjadi contoh teladan kepada rakyat jelata.
"Keadilan tidak hanya tertumpu kepada umat Islam, malahan kepada semua rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum.
"Suri teladan pemerintah yang baik juga menjadi cerminan kepada ketinggian akhlak rakyat jelata sesebuah negara-bangsa," katanya.
Menurut teks khutbah itu lagi, calon-calon dibenarkan berkempen untuk memperkenalkan diri.
Sementara parti-parti politik akan memperkenalkan kepada rakyat manifesto yang menghuraikan wawasan serta cadangan yang ditawarkan, jika diberikan peluang memerintah.
"Lebih 21 juta rakyat layak dan terdaftar sebagai pengundi dalam PRU15.
"Lebih 10.7 juta pengundi berusia bawah 39 tahun, merupakan hampir 51 peratus pengundi; daripada angka tersebut, hampir 1.5 juta orang, menghampiri 7 peratus pengundi berada dalam usia 18 ke 20 tahun.
"Hanya 18 peratus pengundi yang berada dalam kumpulan usia atas 60 tahun," katanya.
Katanya lagi, mengundi ialah satu tanggungjawab fardu kifayah, satu tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut agar rakyat melakukannya.
"Keengganan untuk memenuhi tanggungjawab mengundi bererti melakukan satu pembaziran, kerana tidak menghargai kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan yang baharu.
"Para majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan, memberikan masa yang cukup, membolehkan para pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi.
"Anak muda yang pertama kali mempunyai kuasa mengundi, sewajarnya diberikan panduan, bimbingan dan kesedaran agar menyempurnakan tanggungjawab mengundi dan mengundi dengan bertanggungjawab," katanya.