PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan parti itu akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Menurut beliau, dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu hanya berasaskan andaian semata-mata, yang mahu memberi salah kepada pengundi ketika musim berkempen.

"Tan Sri Muhyiddin mungkin boleh memberi ucapan atau kenyataan itu... sebenarnya boleh memberi kesan juga kepada kami di BN ... jadi orang Melayu rata-ratanya takut dengan perkataan DAP atau pun takut dengan parti DAP.

"Jadi, bila dia buat kenyataan seumpama itu seolah-olah dia bagi satu gambaran yang BN ini nak bergabung, nak berkerjasama dengan PH. Jadi lebih baik jangan bagi undi kepada BN sebab BN nak pergi kerjasama dengan PH, di sana ada parti DAP.

"Itu memberi gambaran yang salah kepada masyarakat sebab tak pernah ada pun di mana-mana kenyataan malah dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini pun sebut 'no DAP, no Anwar'... jadi kita kita sudah ada petunjuk yang jelas, soal nak bergabung tak timbul," katanya.

Mahdzir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Ahli Koperasi Perserta Rancangan Felcra Berhad di Pusat Komuniti, Padang Terap, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kerajaan Selangor setuju beri cuti umum pada 18 Nov - MB Selangor

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin tidak tolak kemungkinan bakal wujud kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca PRU15 bagi membentuk kerajaan.

Dakwa Muhyiddin, kerjasama itu boleh membawa musibah terutama kepada masyarakat Melayu kerana Anwar akan membawa sama komponen parti PH lain termasuk DAP untuk membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata BN secara jelas masuk ke gelanggang PRU dengan matlamat untuk mendapat majoriti dan membentuk kerajaan.

Katanya, BN tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bersama PH.

"LLawan dahulu kerana pada PRU kali ini terdapat banyak gabungan parti yang bertanding antaranya PN, PH, Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Berkempenlah secara berhemah, bawalah naratif dan optik yang betul kepada rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengenai kedudukan atau penerimaan rakyat terhadap BN ketika ini, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata pihaknya yakin akan mencapai sasaran menang di banyak kawasan susulan peningkatan sokongan rakyat terhadap BN.