Muhammad Haikal Noor Azmin, 18, tiba di kampungnya hari ini dengan bantuan daripada Pengurusan Kolej Komuniti Kepala Batas.
Pelajar bidang Sijil Animasi 2D itu sebelum ini nekad untuk berjalan kaki untuk pulang ke Kelantan berikutan semua tiket bas untuk pulang ke Pantai Timur habis.
Dia yang baru memulakan perjalanan dengan menyorong beg pakaian seorang diri bagaimanapun, terserempak dengan seorang pensyarahnya di Jalan Bertam Indah 2, sekitar pukul 7 malam Rabu.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Ts Jasni Mohd Yusof, pelajar berkenaan yang kurang sempurna dari segi pergerakan dan pertuturan dibantu selepas dia menjelaskan tindakannya mahu berjalan kaki ke Kelantan.
"Kita jumpa dia sedang berjalan kaki dan dalam keadaan letih… bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar itu terjamin, Kolej Komuniti Kepala Batas mengambil inisiatif menghantar pulang Muhammad Haikal ke Kelantan bagi tujuan mengundi dengan menggunakan kenderaan jabatan hari ini.
"Sumbangan telah dibuat oleh semua kakitangan Kolej Komuniti Kepala Batas bagi memudahkan urusan perjalanan pelajar berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak Kolej Komuniti Kepala Batas.
Kata anak sulung daripada lima adik beradik itu, bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban keluarganya selepas dia kehilangan ayah sejak berusia 11 tahun lagi.