KUALA LUMPUR: Pas dan UMNO perlu mencapai kata muafakat bagi memastikan tidak ada pertembungan antara dua parti Melayu Islam terbesar itu sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, perkara itu antara yang diharapkan kedua-dua pimpinan bagi memastikan hubungan yang terjalin sejak pemeteraian Piagam Muafakat Nasional perlu diteruskan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertembungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan dirungkaikan kemudian.

“Antara UMNO dan Pas kita harap tidak akan ada pertembungan. Tetapi antara UMNO dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) itu kita keep in view dahulu.

“Setakat ini memanglah kita tidak ada hubungan dengan PPBM … jadi ia adalah dua perkara boleh kita rungkaikan kemudian. Yang penting antara UMNO dan Pas itu terlebih dahulu (dipersetujui) tidak ada pertembungan,” katanya ketika ditemui media, di Menara Dato’ Onn, pada Rabu malam.

Beliau berkata demikian sebelum menyertai mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mesyuarat itu bakal memperhalusi dan memuktamadkan dapatan yang diperoleh daripada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Muafakat Nasional, yang berlangsung lebih awal hari ini.


Politik | UMNO dan Pas bertemu petang ini tentukan kerjasama

Terdahulu, Naib Presiden Pas Idris Ahmad pula dilaporkan berkata, mesyuarat yang berlangsung malam ini merupakan titik tolak yang penting kepada penyatuan dua parti Melayu Islam itu.

"Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan MN malam ini satu perkara yang sangat penting untuk kita tunjuk kepada masyarakat bahawa kerjasama yang kita lakukan dalam MN itu terus berjalan," katanya lagi.

Sementara itu, Ahmad berkata, UMNO menghormati keputusan Pas untuk terus bersama dengan Bersatu di bawah lambang Perikatan Nasional.

Jelasnya lagi, UMNO tidak akan mengambil pendekatan mempengaruhi sebarang keputusan atau dasar parti lain.

“Mereka (Pas) telah buat pilihan untuk bersama dengan parti Perikatan Nasional. UMNO bersama dengan parti Barisan Nasional. Jadi itu adalah hak Pas untuk bersama dengan PPBM, dan itu tiada kaitan dengan UMNO yang ingin memperkuatkan hubungan dengan Pas.

“Hubungan UMNO dan Pas ini bermula awal lagi… ia sudah bermula 2018 dan 2019, kita juga telah meterai piagam MN pada 2019. Jadi hubungan Pas dan UMNO ini sudah bermula lebih awal daripada hubungan Pas dan PPBM dalam Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Ahmad berkata, berdasarkan faktor tersebut, tiada sebab mengapa UMNO perlu memberi kata dua kepada Pas, sebagaimana yang disarankan oleh pihak-pihak lain.