"Saya dari awal konsisten kata buat masa sekarang iaitu hari keempat berkempen, kita sebenarnya sudah berada dalam keadaan baik dan boleh menang 80 kerusi.
"Tetapi dalam dua minggu akan datang, jika kempen dijalankan lebih baik lebih, lebih ramai orang kita jumpa, kita boleh menang sampai 90 ke 100 kerusi, jadi betul lah Anwar kata kita (PH) boleh menang 100 kerusi," katanya pada program Sembang Santai di Tebrau, di sini, hari ini.
Semalam, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan sebagai berkata, Rafizi dan Anwar memberikan jangkaan kemenangan kerusi berbeza, sekali gus berpendapat dua pemimpin tertinggi PKR itu tidak mempunyai kata sepakat dan persefahaman.
Mohd Rafizi yang juga calon PH Parlimen Pandan berkata, jangkaan tersebut juga dibuat berdasarkan beberapa kaedah termasuk maklum balas, data dan impression yang diterima di media sosial, selain penerimaan pengundi ketika kempen bersemuka dilaksanakan.
Pada PRU15, Mohd Rafizi akan berdepan Ketua MCA Bahagian Pandan, Leong Kok Wee mewakili BN dan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat mewakili Warisan di Parlimen Pandan.
Rafizi menang pada PRU13 menewaskan BN dan Bebas dengan majoriti 26,729 undi, namun, beliau tidak bertanding pada PRU14 kerana hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana kes mahkamah.
- BERNAMA