KUALA LUMPUR: Meletakkan calon-calon muda dalam setiap pilihan raya adalah strategi jangka panjang MCA untuk menjadikan sebuah parti dinamik yang mendengar suara anak muda, kata Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Wee berkata pihaknya telah memulakan strategi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dan kini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

"Kita lihat bagaimana generasi baharu kini begitu mendahagakan pembangunan dan mereka mahukan wakil rakyat berwibawa untuk membawa suara mereka ke peringkat Parlimen.

Ini adalah perjuangan jangka masa panjang, kita mahu merancakkan proses itu (menaikkan calon muda) untuk melihat persepsi parti ini sebagai dinamik, membantu rakyat berbilang kaum, serta mendengar denyutan nadi anak-anak muda," katanya ketika berucap di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Parlimen Cheras di sini hari ini.

Turut hadir calon BN Parlimen Cheras Mike Chong Yew Chuan dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Mahadi Abdul Syukor.

Wee berkata walaupun Parlimen Cheras dikatakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) namun MCA percaya penduduk kawasan itu juga mahukan perubahan berdasarkan program turun padang dan maklum balas yang diberikan kepada calon MCA itu.

"Kami percaya Chong dapat mewakili suara anak muda dan sekiranya menang, beliau akan menjadi Ahli Parlimen BN pertama yang melakarkan sejarah menang kerusi itu di peringkat Wilayah Persekutuan," katanya.

Parlimen Cheras pada PRU15 menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Chong, 39, yang juga Ketua Penerangan MCA Pusat, penyandang kerusi Tan Kok Wai (PH) dan Chin Yoke Kheng (Perikatan Nasional)

Sementara itu, Chong berkata pihaknya mendapati banyak masalah kemudahan infrastruktur terutamanya dari segi perumahan dan pengangkutan awam selain kesesakan lalu lintas ketika beliau dan jenteranya turun padang mendengar permasalahan rakyat dalam tempoh seminggu berkempen.

Seramai 101,184 pemilih layak mengundi di Parlimen Cheras pada PRU15.

SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian dan 15 Nov bagi pengundian awal.

-- BERNAMA