ARAU: Meskipun sudah bersara daripda arena politik, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil tidak melepaskan peluang turun padang membantu calon wanita Barisan Nasional (BN) Perlis berkempen dalam usaha memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Wanita UMNO itu juga turut meluangkan masa membantu kempen calon di kawasan panas termasuk kubu kuat penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengakui berasa bimbang dengan situasi di Arau dan Padang Besar, Shahrizat, bagaimanapun, menarik nafas lega selepas melihat kekuatan jentera Jalinan Rakyat UMNO Perlis yang hadir pada program perjumpaan bersamanya di Bilik Gerakan BN Parlimen Arau di Tambun Tulang, di sini.

"Saya dan semua terkejut dengan apa yang berlaku tapi kerana saya sendiri pernah mengalami naik turun dalam parti. Apa yang penting kita ingin membawa wadah parti untuk perjuangan rakyat.

"Kita kena menangkan calon BN kerana percaya Perlis masih menjadi kubu kuat parti," katanya kepada pemberita di sini.

Shahrizat, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut menasihatkan jentera parti supaya jangan sambil lewa dan bekerja keras dalam menjalankan tugas sepanjang berkempen kerana peluang untuk BN menang di Arau dan kawasan lain masih ada.

Parlimen Arau bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Datuk Rozabil Abd. Rahman (BN); Shahidan dan Fathin Amelina Fazlie (Pakatan Harapan).

BN Perlis mempertaruhkan empat calon wanita iaitu Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan (Parlimen Padang Besar), Ketua Wanita UMNO Padang Besar, Asmaiza Ahmad (DUN-Chuping), Naib Ketua Wanita UMNO Padang Besar, Siti Berenee Yahya (DUN-Mata Ayer) dan penyandang kerusi DUN Pauh, Roziena Ahmad (DUN Guar Sanji).

-- BERNAMA