IPOH: Seorang lagi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perak disahkan positif COVID-19 selepas melakukan ujian kediri pada Rabu.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi, bagaimanapun  tidak mengalami sebarang gejala yang serius.

Jurucakap Bilik Gerakan Utama PKR Perak, Dr Lee Boon Chye berkata bagaimanapun, Chai Yi tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan sedang menjalani kuarantin sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya ingin memaklumkan bahawa seorang lagi calon kita lagi juga disahkan positif COVID-19, iaitu Wong Chai Yi, yang bertanding di kerusi DUN Simpang Pulai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Majlis Pimpinan Negeri di Pejabat PKR Perak di sini, pada Rabu.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Hanya tinggal janji Ismail Sabri sebagai PM - Dr Mahathir

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!



Pada Isnin calon PH bagi Parlimen Gopeng, Kar Hing daripada PKR memaklumkan disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian kendiri dua kali selepas mengalami tanda-tanda kurang sihat.

Mengulas perkembangan terkini Kar Hing, Boon Chye berkata kesihatannya semakin baik dan tidak mengalami simptom serius.

Parlimen Gopeng terdiri daripada tiga kawasan DUN iaitu Sungai Rapat, Simpang Pulai dan Teja.

Pada PRU15, PKR meletakkan calon mereka di Parlimen Gopeng yang diwakili Kar Hing sementara Chai Yi di DUN Simpang dan Sandrea Ng Shy Ching di DUN Teja.

Kerusi DUN Sungai Rapat pula ditandingi calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Perak iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.


Dalam perkembangan berasingan, Boon Chye meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat melonggarkan tatacara berkempen terutama yang melibatkan kaedah ‘walkabout’ atau jelajah mesra oleh calon PRU15.

Menurutnya ini kerana pihak beliau telah menerima arahan daripada SPR pada Selasa yang meminta semua calon bertanding memohon permit daripada Balai Polis Daerah terlebih dahulu sebelum melakukan jelajah mesra.

“Jika setiap kali kita perlu memohon permit daripada pihak polis bagi melakukan jelajah mesra, maka ia agak menyukarkan semua pihak dalam menguruskan perjalanan kempen calon.

“Sebagai contoh, jika jurujual boleh mengedarkan risalah barang-barang yang dijual kepada umum tidak memerlukan permit polis, mengapa kali ini kita pula perlu mohon permit terlebih dahulu.

“Oleh itu saya berharap pihak SPR dapat mengkaji semula perkara ini bagi memudahkan perjalanan kempen serta menyemarakkan lagi semangat demokrasi dalam negara,” katanya lagi.