Walaupun berdepan dua calon yang dianggap sebagai 'giant' iaitu Datuk Darell Leiking daripada Parti Warisan (Warisan) dan Datuk Ewon Benedict (Pakatan Harapan), beliau berkata mampu memenangi kerusi berkenaan
Mengakui dilabel sebagai calon underdog, Naib presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu menambah, gerak kerja yang dilakukan beliau di kawasan Penampang akan diterjemahkan oleh para pengundi pada 19 November ini.
"Saya memang orang cakap underdog tetapi kelebihan saya berada di kerajaan dan sebelum saya menjadi wakil rakyat pun atau selepas saya menjadi mantan wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam) saya sentiasa turun padang membuat kerja.
"Jadi dibandingkan dengan dua giant ini memang mereka ada kelebihan sebab mereka adalah Timbalan Presiden (Darell), dan satu satu lagi akan jadi Presiden parti (Ewon).
"Tetapi jika dibandingkan betul-betul yang buat kerja saya rasa saya lebih mendahului daripada mereka dan ini lebih penting untuk penduduk dan pengundi di sini yang mahukan wakil rakyat mereka lebih sentiasa bersama dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya ketika ditemui di Pejabat STAR, di sini pada Rabu.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: GTA tidak akan kerjasama dengan BN, PN - Tun M
SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
Mengulas lanjut, Kenny Chua berkata Penampang yang ditadbir oleh pembangkang menyebabkan kawasan tersebut berdepan kekangan untuk dibangunkan.
Tambahnya lagi, penduduk di Penampang juga mahukan wakil rakyat yang sentiasa memahami permasalahan mereka, dan 'tidak hilang' dari kawasan.
"Jadi saya rasa pengundi perlu mengambil kira pada masa ini kita harus membantu masyarakat dan kebajikan infrastuktur yang telah lama tidak diperhatikan atau diambil kira oleha ADUN-ADUN sekarang dan penyandang sekarang," ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Kenny Chua berkata, rekod sepanjang menjadi ADUN Inanam dilihat memberi kelebihan kepadanya untuk menambat hati pengundi pada PRU15 ini.
Sepanjang menjadi wakil rakyat, ujarnya, kemudahan infrastuktur termasuk jalan di kawasan kampung telah dinaik taraf, selain mempromosikan sektor ekopelancongan di DUN Inanam.
"Saya telah menggunakan dana sendiri untuk menaik taraf klinik-klinik kesihatan (di Inanam) supaya memberi manfaat kepada pesakit-pesakit.
"Kalau dulu kamu pergi klinik Inanam ia kekurangan bangku dan pendingin hawa dan tandas rosak... Jadi apabila saya jadi ADUN, keutamaan saya ialah menjaga kebajikan semua masyarakat di Inanam," katanya.
Pada PRU15 Parlimen Penampang menyaksikan saingan empat penjuru termasuk membabitkan penyandang kerusi itu, Darell.
Selain Kenny Chua, Darell yang juga Timbalan Presiden Warisan berdepan cabaran daripada Ewon (PH) dan calon Bebas, Richard Jimmy.
Pada PRU14, Darell menang dengan majoriti 23,473 undi, menewaskan tiga lagi pencabar.