Berpengalaman selama 34 tahun dalam dunia pendidikan, jelas Abas, pelbagai pembaharuan termasuk silibus pembelajaran di sekolah perlu ditambah baik seperti negara-negara maju.
"Saya orang pendidikan, jadi saya mahu mengetengahkan idea pendidikan kerana pendidikan sekarang berorentasikan ujian, awak hafal, tulis, awak lulus dengan cemerlang.
"Sedangkan pendidikan itu adalah proses membangunkan diri, ilmu dimasukkan dan dihayati untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan (pelajar).
"Perkara ini sangat kurang, di sekolah cikgu mengajar untuk ujian penilaian semata, ini tidak boleh tidak akan jadi manusia yang baik," jelasnya ketika ditemui ketika menghadiri Program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Serdang, di sini, pada Isnin.
Justeru, kata Abas, sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Bera, suara berkenaan akan dibawa ke peringkat Dewan Rakyat.
"Kita rujuk negara maju, seperti Jepun, Korea, Itali, Switzerland… kenapa mereka dapat lahirkan orang-orang yang baik? Kerana mereka membina watak dan perangai.
"Dari tahun satu hingga empat baru bentuk perangai tahun lima baru disi dengan ko-kurikulum. Kita di Malaysia, tahun pertama pelajar sudah hafal subjek.
"Pendidikan kena reform (ubah), saya faham benar macam mana nak reform sebab saya bertugas daripada guru biasa, pengetua sampai lah jadi pengarah. Jadi saya duduk dalam sektor ini selama 34 tahun saya tahu di mana (perubahan), beri peranan, saya tahu bagaimana nak ubah cikgu, bina pengetua untuk melaksanakan tugas-tugas ini," katanya.
Mengulas momentum hari kedua berkempen, jelas Abas, beliau yakin pengundi di Parlimen itu bakal memberi peluang kepada PH kali ini.
"Hari ini kita akan bergerak sampai ke Durian Tawar, semalam kita pergi ke Felda Purun, Kemayan dan sebagainya. Kita berharap dalam masa yang singkat kita dapat menziarahi sebanyak mungkin pengundi kita.
"Nampaknya reaksi positif, macam saya pergi ke Felda semalam sangat ramai orang dan kita temui jentera pengerak di kawasan itu," katanya lagi.
Pada PRU15 minggu depan, Abas akan berdepan saingan sengit daripada penyandang Parlimen Bera yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada Barisan Nasional (BN) serta calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Asmawi Harun.