MARAN: Penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib menjelaskan tindakannya untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bukan disebabkan kecewa selepas digugurkan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya tegas Ismail, tindakan itu dilakukan semata-mata untuk meneruskan khidmatnya kepada rakyat di kawasan itu.

"Saya sebenarnya, membuat solat istikharah, saya tidak ada lagi dalam bahagian UMNO dan sebagainya dan saya telah berkhidmat (dalamn) politik lama dan bukan kerana saya tak terpilih tidak dicalonkan, itu menjadi sebab.

"Tetapi saya istikharah minta petunjuk Allah SWT bagaimana saya dapat meneruskan perkhidmatan saya sebab saya terlibat banyak dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), dulu saya pegawai kerajaan.

"Apabila saya tak terlibat secara terus, khidmat kepada rakyat itu terbatas, mungkin Allah izinkan saya untuk saya diberikan peluang bersama arena politik berterusan saya bertanding di Parlimen Maran," jelasnya dalam sidang media khas di Dewan Arena YAM Tengku Muda Pahang di sini pada Jumaat.

Tambah Ismail, beliau berterima kasih kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas keyakinan yang diberikan terhadapnya untuk bertanding atas tiket parti itu.

"Saya diberi izin, saya ucapkan terima kasih Presiden Pas, saya telah diberi izin menawarkan diri bersama dengan Pas.

"Saya berlatar belakangkan agama, saya nampak mungkin di sini tempatnya Tuhan bagi saya ruang sedikit meneruskan perkhidmatan kepada masyarakat," katanya lagi.

Ismail antara pemimpin UMNO yang bakal bertanding atas tiket PN selain penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pada PRU lalu, beliau memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 3,763 menewaskan Hasenan Haron (Pas) dan Ahmad Farid Ahmad Nordin (PKR) atas tiket Barisan Nasional (BN).