Bagaimanapun jelasnya, beliau yakin BN dapat mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
"Memang ada kesan saya tak nafikan, ramai yang rasa kecewa. Tidak sepatutnya, sebab beliau sudah empat penggal... mendapat tempat, ruang dan peluang kerana parti.
"Tiba-tiba beliau mengkhianati perjuangan beliau sendiri. Bagi saya ada hikmah, ramai ahli kita di akar umbi merasakan ini masa untuk kita memberi pengajaran kepada orang yang tidak setia kepada parti," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Meskipun berdepan saingan sengit, Shahaniza berpandangan rakyat di kawasan Parlimen itu lebih bijak memilih pemimpin dalam PRU kali ini.
"Dia (Ismail) hanya penyandang tubuh badan sahaja, penyandang sebenar adalah Barisan Nasional kerana rakyat memilih parti, memberi mandat kepada BN.
"Bagi saya, individu itu hanya sebagai wakil, yang menang adalah parti dan bukan dirinya secara individu.
"Bagi saya Insya-Allah tidak ada masalah untuk mengekalkan kemenangan BN di Maran walaupun agak sengit. Dengan jentera parti yang begitu bersemangat saya yakin rakyat bijak memilih yang mana kaca yang mana permata, siapa yang ikhlas siapa yang tidak," katanya lagi.
Selain Ismail (PN), Shahaniza berdepan tiga lagi saingannya iaitu Ahmad Shuhor Awang dari Pakatan Harapan (PH) dan Muhamad Hafiz Ishak mewakili calon Bebas.
Pada PRU14 yang lalu, Ismail yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian itu memenangi kerusi terbabit dengan majoriti 3,763 undi menewaskan calon Pas dan PH.