PN membuktikannya dengan membuat saringan ketat terhadap calon yang mahu dipertandingkan seterusnya mengangkat sumpah untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk salah laku terutamanya rasuah.
Maka, kata Muhyiddin, rakyat tidak perlu ragu atau keliru lagi untuk memilih perwakilan mereka kerana PN menampilkan calon yang diyakini dapat memberi tumpuan penuh kepada khidmat kepada masyarakat.
“Semua calon kita disaring. Pertama oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kemudian PDRM (Polis Diraja Malaysia) berkenaan kes-kes jenayah.
"Ketiga, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), kalau-kalau mereka ada hutang atau tak bayar cukai. Dan keempatnya (Jabatan) Insolvensi, selain daripada akhlak, pengalaman dan kelulusan yang turut diambil kira.
“Jadi jangan bimbang untuk pilih calon kita,” ujarnya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Beliau yang juga calon PN P.143 Pagoh turut menjelaskan, ia bukan semata-mata meletakkan calon untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini tetapi keupayaan dan kewibawaan mereka untuk bekerja selepas itu.
Muhyiddin menegaskan, PN tidak mahu mengulangi sejarah parti-parti lain yang dipalit skandal, sebaliknya mereka mahu menampilkan budi pekerti yang akan berkorban untuk mendengar suara rakyat dan membawanya ke Parlimen untuk dicari penyelesaian.
“Bagi saya, itu penting. Bukan sekadar meletakkan calon, tetapi yang ada wibawa, kelayakan dan integriti. Itu asas kita,” tambahnya.