BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sah berdepan saingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen P.090 Bera dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Asmawi Harun dan calon Pakatan Harapan (PH).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya P.090 Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif mengesahkan pencalonan ketiga-tiga calon terbabit dalam satu pengumuman kira kira jam 11.20 pagi Jumaat.

Terdahulu, Asmawi menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.03 pagi.

Kemudian diikuti Ismail Sabri lima minit kemudian dan Abas Awang pada jam 9.15 pagi.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati tiada insiden tidak diingini berlaku sesama penyokong parti yang hadir di perkarangan pusat penamaan calon itu.

Pada PRU lalu, Ismail Sabri mempertahankan kerusi Parlimen Bera menewaskan pesaingnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas dengan majoriti 2,311 undi.