Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada sidang media sekitar pukul 6.00 petang di Ibu Pejabat PBB dekat sini pada Ahad.
“Perdana Menteri akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong siapa yang mendapat majoriti. GPS sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Pada masa sama Abang Jo mengesahkan sesi perjumpaannya bersama Muhyiddin dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sebelah pagi Ahad tidak disertai wakil GRS dan beliau tidak tahu siapa yang disokong GRS untuk menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu beliau juga mengesahkan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghubunginya.
“Semua orang mahu jumpa saya, jujur saya beritahu kamu.
“Tak ada jumpa pagi ini, sama ada saya jumpa atau tidak itu perkara lain tapi Anwar memang ada hantar mesej, biasalah kalau wanita cantik memang begitu,” katanya.
Gabungan antara PN, BN, GPS serta GRS menjadikan jumlah 131 kerusi sekali gus berupaya membentuk kerajaan persekutuan selari dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia.
“Dunia dan negara kita bakal berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi sekarang dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting pada tahun hadapan.
“Demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yang segera,” tambahnya.