Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas itu, meluangkan masa kira-kira sepuluh minit berbual dengan perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia, menerusi panggilan video hari ini.
Sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican mengharapkan Zii Jia yang sedang bertanding di Terbuka Australia di Sydney, menempa kejayaan dan membawa pulang kemenangan.
"Saya berjuang PRU di sini(Kepala Batas), awak berjuang badminton di sana,(Sydney). Kami semua peminat di Kepala Batas semua berada di belakang Zii Jia, selalu mendoakan kejayaan awak.
"Kami harap awak dapat melayakkan diri ke separuh akhir, macam awak kata mahu lawan 'kaw kaw' punya... saya doakan kejayaan awak, awak mesti berjaya " katanya.
Reezal Merican berkata demikian sewaktu mengadakan sidang video bersama Zii Jia di Bilik Gerakan BN di Kepala Batas, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: GTA tidak akan kerjasama dengan BN, PN - Tun M
SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
Sementara itu, Zii Jia berkata, berbesar hati bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak pernah lupa memberikan kata-kata semangat buat dirinya meskipun sudah tidak berada dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Beliau turut menzahirkan kata-kata semangat dan ucapan selamat berjaya kepada Reezal Merican yang bertanding bagi mempertahankan kerusi disandangnya pada PRU15.
"Saya datang (sidang video) 'show' sokongan untuk Datuk Seri sebab Datuk Seri banyak tolong saya, walaupun di BAM, atau sudah keluar dari BAM Datuk Seri tetap tolong saya.
"Walaupun bukan minister sukan lagi tapi kita tetap 'keep in touch'. Ini saya hargai dan saya datang 'support' Datuk Seri sekarang demi Malaysia," kata Zii Jia.
Zii Jia akan menentang Lu Guang Zu dari China esok.
Pemain Nombor Dua Dunia itu dalam misi mengumpul mata untuk menempah slot Final Jelajah Dunia di Arena Nimibutr, Bangkok pada 7 hingga 11 Disember ini.
Dalam PRU15, Reezal Merican akan ditentang calon Perikatan Nasional, Dr Siti Mastura Muhammad, Muhammad Danial Abdul Majeed (PH-MUDA) dan Hamidi Abu Hassan (Pejuang).